Selasa, 25 Februari 2014

Tanda Putera Bermulanya Sebuah Tragedi


Pastinya ramai yang tahu serba-sedikit tentang tragedi 13 Mei 1969 dimana negara menyaksikan satu peristiwa berdarah berlaku dalam kalangan masyarakat Malaysia ketika itu.

Masalah perpaduan yang berlaku antara dua kaum iaitu Cina dan Melayu telah mengakibatkan kehilangan nyawa dan harta benda sehingga mencatatkan statistik kematian sebanyak 86 orang Melayu dan 342 orang Cina.

Sukar hendak diramalkan mengapa perkara itu terjadi pada mulanya. Tetapi apabila menjelangnya Pilihan Raya Umum 1969, ada beberapa pihak yang tidak bersetuju dan mula membangkang dengan tujuan untuk menegakkan “hak” masing-masing.

Perkara ini telah dibangkitkan calon-calon pilihanraya dan ahli-ahli politik daripada parti pembangkang mengenai soal Bahasa Malaysia, kedudukan istimewa orang Melayu sebagai Bumiputera, dan hak kerakyatan orang bukan Melayu.

Pada pilihanraya umum tersebut, Parti Perikatan yang dianggotai oleh UMNO, MCA dan MIC gagal memperolehi majoriti 2/3 parlimen, walaupun masih berjaya membentuk kerajaan persekutuan.

Hal ini disifatkan pihak pembangkang sebagai satu kemenangan besar buat mereka. Keadaan bertambah buruk apabila ada segelintir pihak mula mengapi-apikan kemenangan mereka dengan membangkitkan isu-isu sensitif yang melibatkan kaum.

Bermula tanggal 11 Mei 1969, kemenangan mereka disambut dengan perarakan yang tidak bermotif di sekitar Kuala Lumpur. Begitu juga keesokkan harinya, apabila sebahagian kaum Cina berarak menerusi kawasan Melayu, melontar penghinaan sehingga mendorong kejadian tersebut.

Sungguhpun 44 tahun sudah berlalu, peristiwa ini masih terpahat di fikiran seluruh rakyat Malaysia. Diinspirasikan dalam bentuk filem, sejarah ini dapat disaksikan dalam filem Tanda Putera arahan Shuhaimi Baba yang bakal ditayangkan pada 28 Ogos ini.

Filem kesembilan arahan Shuhaimi Baba ini mengisahkan persahabatan yang akrab antara Perdana Menteri kedua Malaysia, Tun Abdul Razak (Rushdi Ramli) serta timbalannya Tun Dr Ismail (Zizan Nin) yang terpaksa berahsia tentang masalah kesihatan yang dihadapi mereka bagi memulihkan konflik hitam yang berlaku pada tahun 1969 itu.

Tun Razak yang mengidap penyakit leukemia turut merahsiakan perkara tersebut daripada keluarga terutama isterinya Tun Rahah Noah (Faezah Elai). Manakala Tun Dr Ismail turut melakukan perkara yang sama setelah beliau mengetahui tentang penyakit jantung yang dihidapi beliau.

Oleh sebab itu, mereka berdua telah berkongsi klinik dengan bantuan Dr Macpherson (Ali Steven Shorthose) di bilik bacaan Tun Razak sendiri sebagai klinik peribadi mereka.

Turut menampilkan babak sekumpulan pelajar Universiti Malaya (UM) iaitu Zarah (Ika Nabila), tenaga pengajar Kara (Kavita Sidhu), Allen (Allan Yun) dan Johan (Zoey Rahman), semangat setiakawan mereka jelas terbukti bukan hanya di universiti sahaja, malah ketika melalui saatsaat gentingnya peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

Mereka terpaksa menyorok dalam kereta untuk keluar dari kampung, bersembunyi di dalam rumah dan kejar-mengejar dengan puak pemberontak demi menyelamatkan nyawa yang terancam.

Bukan senang untuk menjadi seorang pemimpin walaupun pada zahirnya ia nampak mewah dan berada, apatah lagi perlu menyelesaikan sesebuah konflik serta-merta demi perpaduan negara.

Namun, itulah yang terpaksa digalas Tun Razak. Setelah mengetahui hayatnya cuma boleh bertahan selama dua tahun, Tun Razak mula meletakkan harapan yang tinggi kepada Tun Dr Ismail agar dapat meneruskan agenda pembangunan serta penyelesaian konflik tersebut.

Namun, ia hanyalah tinggal satu lagi kenangan pahit buat Tun Razak, apabila Tun Dr. Ismail meninggal dunia akibat penyakit jantung yang dihidapnya pada 2 Ogos 1973.
Keadaan bertambah runcing apabila kesihatan Tun Razak mula terganggu setelah menerima khabar buruk yang menimpa sahabat baiknya itu.

Tidak hanya itu, Tun Razak sekali lagi diuji dengan ancaman pihak komunis yang akhirnya telah meragut nyawa Ketua Polis Negara, Tun Abdul Rahman Hashim pada ketika itu sebelum digantikan dengan yang baru iaitu Tun Mohd Haniff Omar (Norman Hakim).

Lantas, langkah bijak diambil Tun Razak apabila beliau menjalinkan hubungan diplomatik dengan Republik China bagi melemahkan pengaruh komunis tempatan walaupun dikecam hebat kuasa barat dan negara bersekutu.

Pada masa yang sama, Tun Razak sempat membawa rakyat Melayu yang miskin keluar daripada kepompong kemiskinan mereka dengan pendidikan dan ekonomi yang baik.

Namun, perjuangan Tun Razak berakhir apabila beliau meninggal dunia di sebuah hospital di London pada 14 Januari 1976. Walaupun tidak sempat menemui anak bongsunya, Nazir buat kali terakhir, namun kematian Tun Razak disambut dengan penuh dukacita oleh ribuan rakyat Malaysia sebelum disemadikan di Makam Pahlawan bersebelahan sahabatnya, Tun Dr Ismail.

Buat kita generasi baru, sentiasa beringatlah bahawa betapa sukarnya untuk menggalas posisi sebagai seorang pemimpin dalam membangunkan negara. Penat lelah keringat hanya dirasai mereka sendiri tatkala terdapat segelintir di luar sana yang hanya pandai berkata-kata dan menuding jari.

Sebagai satu nilai pengajaran, filem Tanda Putera ini perlu ditonton mereka untuk melihat akan perit getir perjuangan tokoh-tokoh terdahulu dan perpaduan yang kini semakin pudar dalam diam, terutamanya dalam golongan muda.

Oleh: HARITS ASYRAF

0 komentar:

Posting Komentar